Awak sudi jadi isteri kedua saya?
“Awak
sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba
mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak
sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak
ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata
Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia
dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung
tidak selari dengan penampilannya.
“Saya
ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fulanah mula
sebak.
“Tak.
Maksud saya…”
“Sudah!
Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fulanah dengan kasar.
“Awak
nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi
isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fulanah semakin tinggi,
setinggi egonya.
Fikri
diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Fulanah’ di sebalik Fulanah yang dia kenal
selama ini.
Fulanah
bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya yang
berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila
memujuknya untuk bermadu.
Fikri
muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum
bersedia rupa-rupanya.
“Ada
hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung
minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri
sebagai seorang Muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak
dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan
pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa
inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang
tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan
serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis
dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu
keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian
lama. Sudah terlalu ramai Muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah
terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fulanah, Fikri seperti
pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi
isteri kedua.
Fikri
masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak
seperti tiada jalan penyelesaian.
Dia
mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami
erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fulanah, Fikri tak ubah
seperti lelaki lain.
Gerak
kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi
program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat
dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya,
sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman
sebesar gunung sekalipun.
Dia
terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar
seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau
perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu
petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan
luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar
takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas
berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui
Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah
atau tidak?
Fikri
bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit
masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah
daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah
bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri
mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.
“Awak
sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,”
jawab Nusaibah ringkas.
“Err,
err, betul ke ni?!” tergagap Fikri apabila menerima jawapan Nusaibah yang
tenang dan yakin.
Nusaibah
mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila
lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
“Kenapa
saya?” tanya Fikri ingin tahu.
“Saya
ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit
malu.
“Baiklah,”
jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya,
Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya
selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri
terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin.
Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk
membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya
terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah
yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan
gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi
pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
“Abang,
saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke
sebuah program dakwah.
“Ye
sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang
tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat
teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah
sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah,
sambil tersenyum.
“Yeke?
Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.
Hatinya
berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja
dakwah. Di sudut hati kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya
membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri
yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah
sebelum ini.
“Kita
dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di
tangannya. Fikri berdiri, menghadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu
isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana
bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak
nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa
nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.
Fikri
tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
“Perjuangan!!”
jawab Fikri.
——————————————
Sedarlah
semua kalian akan dimadukan!
Jika
dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah
kenyataan bahawa anda akan dimadukan,
Bahkan
anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini…
Tetapi
anda adalah bakal isteri kedua!!!
Kerana
isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!!!
Perkahwinan
ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran
dirimu…
Adalah
untuk bersama berganding bahu memperjuangkan Islam
Bukan
menjadi batu penghalang perjuangan suamimu!
Janganlah
jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu…
Dengan
terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan
Islam!
Jika
dirimu bakal seorang suami…
Terimalah
hakikat…
Anda
bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya
Atau
insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu!!!
Bahkan
dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya,
Kerana
suami yang pertama bagi isterimu…
Ialah
perjuangan Islam dan memartabatkannya!
Dia
mencintaimu kerana dirimu mencintai Islam dan memperjuangkan Islam.
Jika
dirimu tidak sedemikian,
Sekelumit
cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu!
Bantulah
isterimu dan kuatkanlah dia untuk teruskan perjuangan!!!
:)