Cerpen : Anak Yahwe Melafaz Syahada


Titisan lebat bawaan gumpalan awan hitam malam itu, menyirami bumi. Kilat petir sabung-menyabung, susul-menyusul. Guruh berdentum seraya mengeluarkan cahaya putih terang-benderang yang memancari bumi. Petir terus menerus melibas alam. Tampak ganas dan mengerunkan. Sang  pungguk menangis kerana gumpulan awan hitam itu seakan menjadi tembok buat sang rembulan menyembunyikan diri. Suasana di bumi itu begitu kontra dengan penghuninya. Kebanyakannya sudah menyelimuti tubuh kerana kesejukan dan merelakan roh mereka berterbangan merata. Pelbagai kerenah, pelbagai ragam.

“ Ini pasti akan berjalan lancar. Zaidy Hamidy. Tunggu masanya ” bicara hati seseorang bermata kehijauan seraya tersenyum sinis di hadapan komputer ribanya.

Kerjanya cukup mudah. Hanya perlu memastikan beg galas berisi bahan letupan itu berada di dalam bilik Zaidy Hamidy dan memerhatikan tindak tanduk pemuda itu. Semestinya tanpa pengetahuan pemuda Malaysia itu. Tugasan seterusnya diserahkan kepada ejen-ejen Luke Gitadov yang lain. Yang akan diletupkan ialah bangunan Affnia Manhattan Hotel yang terletak di jantung kota New York berhampiran Madison Square Garden. Yang akan hadir pula, orang-orang korporat yang datang dari pelbagai pelusuk dunia. Ini berlaku pada sabtu akan datang. Motif utamanya adalah kesan daripada pengeboman itu. Media pasti akan menghentam Islam seteruk-teruknya. Ya, perancangan yang cukup terperinci oleh Luke Gitadov

“Aku sangat gembira kerana aku bakal melakukan sesuatu yang besar buat agamaku. Ya, cukup besar. Akulah anak Yahwe yang mulia” Dia berasa bangga kerana dapat mengabdikan hidupnya untuk kejayaan sebuah negara yang dijanjikan Tuhan di dalam Talmud.
…….
Sang mentari memancarkan sinarannya untuk menyinari bumi Ilahi. Tidak terkecuali tanah maju dan membangun itu, New York. Kicauan burung menambah resepi indah pagi. Walaupun jalan-jalan sesak dan riuh, burung-burung itu seperti sengaja memekakkan telinga dan terus menyusun nada-nada merdu, mendendangkan irama pagi. Seperti pagi-pagi biasa, Zaidy Hamidy, seorang penelaah ilmu di Columbia University bangkit dari tidurnya seawal subuh. Diteruskan paginya dengan memberi sedikit santapan rohani pada diri, mengungkap nama-nama ilahi, membilang butir-butir tasbih suci dan tidak ketinggalan mendalami kisah-kisah wali dan sufi melalui kitab-kitab buat hamba Al-Mubdi juga rutin terpenting iaitu menghayati kitab yang terisi kalam dari Ilahi buat pengabdi abadi. Kini, Zaidy Hamidy bersiap untuk rutin seterusnya iaitu menyelami ilmu di jeladeri pengetahuan yang tiada penghujungnya.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku. Bukakanlah kepada kami sebagaimana orang yang arif, kurniakanlah kami kefahaman para nabi dan ilham para malaikat yang hampir denganMu, dengan rahmatMu wahai Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang. ” wajah Zaidy Hamidy diraup.

Langkah pertamanya diatur berpasakkan azam yang tinggi serta semangat yang utuh. Zaidy melintasi Jalan Bradhurst yang berhampiran Drew Hamilton Health Center dan melalui Deretan kedai-kedai di Jalan 143rd. Tiba-tiba kedengaran suara yang agak garau dan sedikit pelat menyapa.

“Zaidy!! tunggu sebentar. Lajunya awak jalan.” Kelihatan seorang pemuda bertubuh yang agak rendah berlari-lari anak ke arah Zaidy.

“ Yes, Ted McKinley. Sudah lancar bahasa melayu anda. Congratulation.” Zaidy berbicara mesra

“ Saya Cuma tahu cakap sikit-sikit. Sudah. Cepat nanti late to class”

“ Late to class tu, bahasa melayunya lewat ke kelas lah. Jom.”

Zaidy sempat terpandangkan seorang gadis yang seperti sedang memerhatikannya. Wajahnya samar-samar dan sukar dikesan. Siapa? Dibiarkan. Zaidy dan sahabatnya itu meneruskan perjalanan ke destinasi sambil tertawa. Gadis bermata bundar itu memerhatikan Zaidy dan Ted McKinley menyeberangi jambatan Edgecombe dan kian samar dari pandangan lalu hilang disebalik bangunan-bangunan disitu. Gadis berwajah putih bersih itu membetulkan selendang merahnya yang dibelai angin dan meneruskan langkahnya.

Kelas Psikologi di dewan kuliah tengahari itu selesai. Madam Cataline menitipkan tugasan baru buat semua mahasiswa di kelasnya lalu meninggalkan mereka. Wajah Zaidy berjalur resah, gelisah, risau dan tersirat seribu satu tekanan. Tangannya diraba-raba ke dalam saku juga beg galasnya. Ternyata tidak membuahkan hasil. Hanya membarahkan kecepuan di benak fikiran.

“ Mana kunci rumah? Bukankah sudah diletakkan di bahagian sini?” pemuda itu bermonolog sendirian sambil meraba-raba salah satu saku beg galasnya.

“ Ada apa-apa yang bisa ku bantu. Kamu kelihatannya kok keruan. Lagi cari sesuatu ya?” kedengaran suara gadis Indonesia berbicara. Ternyata itu Sariyanti. Seorang gadis Indonesia tetapi memiliki wajah yang berbeza dengan gadis Indonesia yang biasa. Hidungnya mancung tetapi sedikit besar di hujungnya. Matanya bundar dan memiliki alis mata yang tajam. Kulitnya tidak gelap dan tidak begitu putih. Mungkin anak Nusantara berdarah kacukan.

“ Eh, Sariyanti. Saya sedang mencari kunci rumah saya. Saya yakin saya letakkan ianya di sini” jawab Zaidi seraya menepuk-nepuk lima jari mulusnya itu di atas satu bahagian pada begnya.

“ Aku lihat tadi sepertinya ada yang buru-buru keluar dari ruangan kuliah. Siapa namanya ya?. Haa, Lyudmila. Lagikan pula, tempohari dia dicekup mencuri laptopnya Fizo.” Sariyanti cuba menuduh seorang gadis sekelasnya yang sering beraksi dengan tindakan yang mencurigakan.

“ Saya tidak mahu tuduh sembarangan. Mungkin ini disebabkan kecuaian saya.” Zaidy tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh Sariyanti.

Gadis Indonesia itu berlalu pergi dan sebelum keluar dibalik pintu, sempat dia berpesan “Andai kamu butuh aku, hubungi saja ya” Gadis itu tersenyum nakal.

……

Pintu usang itu diketuk. Salam dilaungkan. Beberapa jeda kemudian, salam itu bersahut. Kedengaran selakkan kunci dan pintu itu terkuak. Kelihatan seorang lelaki berusia lewat 50-an menyambut mesra tetamunya. Bersalaman lalu berpeluk. Sunnah Rasulullah SAW yang cukup indah yang mampu mengeratkan lagi tali ukhuwah. Tetamunya dijamu dengan teh panas juga snek-snek ringan. Kedua-dua lelaki itu berbual mesra.

“ Burhan Fahmy ke mana?” bicara lelaki lewat 50-an itu

“Masih di Charlotte. Sedang menyelesaikan urusannya. InshaAllah lusa balik. Kalau dia di sini, pasti ana tak menyusahkan Ustaz. Terima kasihlah banyak-banyak Ustaz Rifqi. Kalau tidak, tak tahulah ke mana arah ana malam ni. Mungkin tidur di Masjid, mungkin juga merempat di tepi jalan. Hanya Allah yang mampu membalas jasa Ustaz.” bicara Zaidy

“ Zaidy, ana dah anggap enta macam anak sendiri. Tak menyusahkan pun. Kalau ada apa-apa masalah bagitahu sahaja. Lagi satu perkara, Ana nak minta tolong sesuatu boleh?”

“ InshaAllah, andai ana mampu, akan ana usahakan. Apa dia Ustaz?”

“ Ana ada urusan penting bersama beberapa lagi Ustaz sabtu ini. Tetapi pada masa yang sama, Ana perlu menyampaikan ceramah untuk sebuah forum. Jadi, Ana mahu enta gantikan ana. Tajuk forumnya “God in Modern Era”. Macam mana?”

“Cukup besar tanggungjawab tu. Kenapa Ustaz Rifqi percaya pada ana?

“ Ana yakin, enta boleh. Ana perhatikan, enta bukan sahaja seorang muslim yang memahami Islam, tetapi kamu juga mendalami dan  mempraktikkan Islam itu sendiri. Lagipun, istikharah ana yang memberi jalan. Allah SWT pasti akan bantu enta.”

“ Kalau begitu, inshaAllah. Ana sedia.”

Malam itu, bumi itu sungguh dingin. Jarang sekali hujan menyirami bumi ini. Tidak ramai manusia yang ingin keluar dalam keadaan suhu yang sebegini dingin. Kedengaran derapan tapak kaki. Begitu kencang seperti nafasnya. Dada pemilik nafas kencang itu kembang kempis seperti berombak. Kelihatan susuk tubuh yang bersarungkan baju hujan berwarna gelap muncul dari belakang kedai Candy Factory. Matanya melilau memerhati keadaan sekeliling. Tangan kirinya dibiarkan bebas berhayun manakala tangan kanannya seperti memeluk sesuatu. Apakah itu? Lariannya yang tadi kencang serta-merta terhenti. Kepalanya yang dilindungi baju hujan itu ditoleh ke kanan dan kiri. Keadaan sunyi sepi. Tiada seorang pun. Hanya kedengaran titisan lebat yang jatuh ke bumi. Langkahnya perlahan menuju ke jendela sebuah rumah. Setelah memastikan rumah itu tidak ada penghuninya, dengan langkah yang cukup pantas dia menyarungkan sarung tangan, mengeluarkan kunci di saku baju hujannya lantas membuka pintu lalu masuk ke dalam.

Wajahnya mengukir senyuman. Senyuman yang berintikan rencana jahat. Kini dia di dalam rumah. Misi seterusnya, mencari kamar Zaidy Hamidy. Di mana? Langkahnya perlahan menuju ke sebuah kamar yang tertulis “Don’t Disturb. Zaidy is busy”. Pasti itu kamarnya. Tombol pintu itu digengam lantas pintu itu dibuka. Dia memasuki kamar kecil itu. Seperti ada satu aura. Sungguh tenang. Tenangnya hampir membuatkan kelopak matanya terpejam. Aura apakah itu? Kelihatan beberapa buku tebal yang terukir tulisan yang agak aneh baginya. Bukan abjad, bukan juga nombor. Adakah itu tulisan jawi? Kamar itu kelihatan berbeza. Seperti bercahaya tetapi lampu tidak pun dipasang. Ini seperti ketenangan yang dicari-cari selama ini. Tiba-tiba, syaitan menarik kembali hati yang sedang melayang ke arah ketenangan. Dia harus selesaikan tugasnya. Dia mencari sudut yang sesuai untuk dia letakkan sesuatu yang berada dalam pelukan tangan kanannya. Jumpa. Barang itu dilepaskan dari pelukan dan dikeluarkan. Ternyata itu adalah beg galas yang terisi bahan letupan. Diletakkankan ia di celahan almari. Selesai .

……..

Burhan Fahmy membaca sebuah poster di sebuah papan kenyataan berdekatan kantin.   Forum : God in Modern Era. Matanya membulat apabila menyaksikan nama sahabat serumahnya, Zaidy Hamidy b. Yosree tersenarai sebagai salah seorang penceramah dan sahabatnya itu bakal mengupas mengenai agama Islam. Burhan Fahmy terus mengamati poster itu dan mendapatkan lagi beberapa maklumat.

Zaidy baru sahaja tamat kelasnya hari itu. Dia menyimpan komputer ribanya ke dalam beg galas. Tiba-tiba Sir Patrick Stinson memanggilnya. Zaidy meninggalkan begnya seketika di kerusi lantas menuju ke arah Sir Patrick. Pensyarahnya itu hanya mahu menanyakan tentang program forum itu dan mengucapkan semoga berjaya untuk forum itu. Zaidy mengucapkan terima kasih dan dia hanya mampu tersenyum. Zaidy kembali ke kerusi dan menyusun beberapa barang lalu dimasukkan ke dalam begnya. Tiba-tiba wajah Zaidy berubah. Zaidy terkejut kerana kunci rumahnya yang dicari telah dijumpai. Zaidy mengerut kehairanan. Bagaimana kunci itu boleh berada di begnya sedangkan dia sudahpun mengeledah setiap sudut begnya itu tempohari. Zaidy terdiam dan hanya bersyukur.

Zaidy mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Langkahnya terhenti tatkala kedengaran suara seorang gadis dari arah belakang.

“ Hello, Zaidy.” Bicara seorang gadis berwajah putih bersih dan berselendang merah seraya melemparkan senyuman

“ Hi, do I know you? balas Zaidy

“ I don’t think so. I’m Norrish Stinson. I just want to ask you a few question. May I? Are you one of the speakers for this saturday’s forum?”

“ Yes. I will talk about Islam. Let’s come and gain a new knowledge.”

“ I’ll come with my father. He really knows you.”

“ Really. Who’s your father? ”

“ Sir Patrick Stinson. There he is. Ok see you on Saturday.

Zaidy melemparkan senyuman ke arah pensyarah Sosiologi dan Artopologinya itu. Kereta BMW yang dipandu oleh pensyarahnya itu diperhatikan sehinggalah kelibat kereta itu hilang dari pandangan. Tiba-tiba pandangannya bertukar arah ke susuk tubuh yang tidak asing baginya. Sariyanti. Sariyanti terpandang wajah Zaidy lalu terus menuju ke arah pemuda itu.

“ Sariyanti, kenapa macam tergesa-gesa ni? Ada hal mustahak kah?”

“ Aku harus pulang ke Surabaya. Ada urusan keluarga.”

“ Ohh. Bila kamu akan bertolak? "

“ Malam ini. Kenapa? "

“ Jadi kamu tidak akan mengikuti forum...” bicara Zaidy terhenti. Telefon bimbit Sariyanti berdering. Dengan pantas gadis Indonesia itu menjawab panggilan. Sariyanti menunjukkan isyarat bahawa dia harus pergi dan memohon maaf. Zaidy memahami dan merelakan gadis itu berlalu pergi. Wajah Sariyanti seperti sedih melihat Zaidy. Entahlah mengapa.

……

Allahu Akbar, Allahu Akbar!!. Azan solat Jumaat di Masjid New York berkumandang. Barisan saf itu dipenuhkan. Kelihatan ramai muslim berhimpun menunaikan solat berjemaah. Wajahnya berbeza-beza. Bangsanya juga berbeza-beza. Tetapi menyembah Tuhan yang sama, Allah swt. Dilakukan mengikut urutan. Takbir, ruku’, sujud, dan akhirnya tahiyat akhir. Assalamualaikumwarahmatullah. Kepala ditoleh ke kanan. Assalamualaikumwarahmatullah. Kepala ditoleh ke kiri. Zaidy meraup wajahnya yang sedikit cerah. Selepas mengungkapkan zikir-zikir tanda kesyukuran, doa Imam Al-Sayudi dihayati dan diaminkan. Selesai doa. Zaidy berjabat dengan jemaah yang lain. Tiba-tiba kelihatan seorang lelaki berusia lingkungan 60 tahun melambai-lambai memanggil Zaidy.

“ Pemuda, Allah swt akan memberikan mu ujian. Maka tabah dan sabarlah.” Lelaki tua itu berbicara seraya berlalu pergi. Zaidy kehairanan. Dahinya berkerut seribu. Apakah yang akan berlaku?

…...

Nafasnya kencang. Degupan jantungnya sungguh pantas. Tidak pernah sepantas itu. Tangannya sedikit menggigil. Kakinya turut menggigil. Kenapa gugupnya sebegitu sekali?. Zaidy memohon ketenangan dari Allah swt. Dia inginkan ketenangan agar hujah-hujahnya disampaikan dengan begitu jelas. Dewan itu penuh. Kerusi yang tersedia tidak mampu menampung penonton yang begitu ramai. Ada yang merangkulkan kaki ke dalam silaan meskipun di lantai. Ada juga yang sanggup berdiri. Begitu ramai yang menghadiri forum itu. Forum itu dimulakan dengan kenyataan dan hujah dari agama Kristian diikuti agama Yahudi seterusnya Hindu dan Budha. Kini Prof. Yael Mitkazov, seorang yang terkenal dengan tulisannya yang menyatakan bahawa Tuhan Sudah Pupus, sedang menyihir para penonton dengan hujah-hujahnya yang kedengaran meyakinkan. Dia mengukuhkan hujahnya dengan menyatakan bahawa ilmu pengetahuan adalah Tuhan yang sebenar. Dewan semakin hangat.

Kini tiba giliran Zaidy Hamidy. Ketenangan itu tiba-tiba sahaja sampai terus masuk ke dalam hatinya. Setelah mengambil nafas yang panjang, Zaidy memulakan bicaranya.

“ Dia seperti binatang buas. Yang sedang merobek-robek Tuhan dan membinasakan Tuhan sebinasa-binasanya. Di dunia ini, Tuhan menyayangi orang yang beriman kepadaNya, juga menyayangi orang yang mengingkariNya. Ada juga manusia yang begitu berani menyatakan bahawa Tuhan telah dilenyapkan oleh ilmu pengetahuan. Orang seperti ini juga disayangi Tuhan. Tetap diberikan nikmat kepadanya.  Tuhan tidak memerintahkan jantungnya berhenti berdegup. Tuhan juga tidak memerintahkan hatinya berhenti menapis racun. Tuhan masih memberikannya kesempatan untuk terus hidup. Adakah dengan ilmu pengetahuan, manusia yang tidak mengimani adanya Tuhan ini mampu menghentikan gempa bumi? Adakah dengan ilmu pengetahuan manusia ini mampu menghentikan banjir yang cukup besar ataupun Tsunami? Adakah dengan ilmu pengetahuan, manusia ini mampu melepaskan diri dari proses penuaan dan kematian? Ada juga manusia seperti Prof Yael Mitkazov ini yang memupuskan kewujudan Tuhan suatu ketika dahulu. Mengagungkan dan bertuhankan ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan yang dia miliki, adakah dia masih bernafas? Dia juga seperti binatang buas tetapi di akhir hidupnya dia merengek seperti bayi menginginkan kehidupan yang berpanjangan. Kenyataan ini menyedarkan manusia sebagai makhluk yang lemah. Membawa manusia meyakini bahawa adanya satu Zat yang berkuasa sepenuhnya yang mampu mengubati segala penyakit. Yang dapat menghidupkan dan mematikan. Yang memiliki kuasa yang tidak punya batasan. Yang kekal. Yang Abadi. Tidak akan tidur. Tidak akan mati, kerana Dialah pencipta kematian. Dialah Tuhan. Dialah Allah. Tuhan sekalian alam.”

Tepukan begitu gemuruh dari penonton buat Zaidy Hamidy. Ramai yang bangkit tanda setuju, kagum dan terpaku dengan kata-kata Zaidy yang padat begitu menikam, bersahaja, tegas dan garang.  Prof. Yael Mitkazov yang menggengam jejari mulusnya tanda geram dan tidak berpuas hati dengan Zaidy Hamidy sejak awal pemuda itu berhujah, tiba-tiba menyedari sesuatu. Zaidy Hamidy mengukir senyuman sambil memandang sekeliling. Kelihatan beberapa orang yang dikenalinya seperti Burhan Fahmy, Ted McKinley, Norrish, Sir Patrick Stinson, Madam Cataline dan beberapa lagi turut memberikan tepukan gemuruh. Forum itu tamat. Penonton bersurai. Zaidy dan penceramah-penceramah lain bergerak menuju ke ruang makan bagi menjamu selera. Sedang khusyuk menikmati santapan yang terhidang, salah seorang penceramah bangkit dari tempat duduk setelah membaca sesuatu dari telefon bimbitnya. Penceramah itu menapak ke arah televisyen yang tersedia di ruang makan itu lalu menghidupkan ia. Kelihatan di kaca televisyen berita mengenai pengeboman Affnia Manhattan Hotel yang baru berlaku sebentar tadi. Semua yang berada di situ memfokuskan pandangan ke arah kaca televisyen dan secara tiba-tiba mata mereka membulat kerana terkejut. Terpampang wajah Zaidy Hamidy yang dikehendaki pihak polis kerana tertuduh sebagai manusia yang bertanggungjawab di atas pengeboman Affnia Manhattan Hotel. Rakaman kamera litar tertutup turut dipaparkan dan kelihatan seorang lelaki yang memiliki tubuh dan gaya pemakaian persis seperti Zaidy Hamidy meninggalkan beg galas di lobi Affnia Manhattan Hotel.

Zaidy tergamam. Lidahnya kelu. Dia membisu tanpa suara. Apakah ini yang dikatakan oleh lelaki tua itu? Zaidy memohon kekuatan dari Allah swt. Dia merasakan dugaan ini cukup besar. Air mata Zaidy mengalir dan menitis di atas ribanya. Dia hampir rebah. Tiba-tiba salah seorang penceramah berbicara

“ Jangan risau Encik Zaidy. Kamu bersama kami sejak pagi tadi. Kami semua saksi. Penonton-penonton forum tadi juga saksi. Aku pasti kamu tidak akan melakukan perkara sekotor itu.”

“ Ya Encik Zaidy. Rakaman forum tadi turut boleh dijadikan bukti bahawa kamu disini bersama kami.”

Selang beberapa minit, pihak polis tiba. Zaidy Hamidy di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Zaidy ditanya pelbagai soalan. Bertubi-tubi. Tetapi Zaidy memperoleh ketenangan dari Ilahi. Zaidy turut ditanya mengenai beg galas yang berisi bahan letupan yang berada di biliknya. Zaidy menjawab semua soalan tanpa sebarang helah, tanpa sebarang dusta. Pihak media sungguh pantas menyebarkan berita. Islam kini dipandang sebagai agama pengganas. Media menghentam Zaidy Hamidy seteruk-teruknya. Tetapi, berdasarkan bukti dan saksi yang ada. Zaidy Hamidy bebas dari tuduhan. Zaidy Hamidy bersujud tanda kesyukuran yang tidak terhingga. Tetapi Zaidy juga kehairanan siapakah dalang disebalik semua ini dan mengapa melibatkan dia dalam permasalahan ini. Pihak media juga memohon maaf kepada seluruh umat Islam di dunia dan Zaidy sendiri selepas mengetahui bahawa dia tidak terlibat langsung dengan aktiviti pengeboman Affnia Manhattan Hotel itu.

Jeda

“ Maafkan aku Zaidy. Aku terpaksa melakukan ini ” Sariyanti berbicara sambil menangis teresak-esak

“ Tetapi kenapa Sariyanti ?” Zaidy tidak menyangka Sariyanti merupakan insan yang cuba memusnahkan kehidupan Zaidy.

Tidak sempat dijawab, Sariyanti atau nama sebenarnya Tamara Migzar dibawa masuk ke mahkamah untuk dibicarakan. Perbicaraan bermula. Peguam mendedahkan identiti Tamara Migzar yang sebenar. Seorang perisik Zionis yang hebat dalam penyamaran dan menyamar sebagai warga Indonesia. Tamara Migzar dibawa keluar mahkamah menuju ke arah kereta polis. Sempat dia berhenti di tengah jalan untuk berbicara dengan Zaidy.

“ Zaidy, sekali lagi maafkan aku. Aku seorang Yahudi. Bapaku seorang pejuang Yahudi dan darah itu mengalir ke tubuh ku. Aku mendekatimu membuatkan aku mendekati sesuatu. Sesuatu yang tidak pernah ku jumpa sebelum ini. Ketenangan. Aku ingin kau jujur kepada ku. Dari manakah datangnya aura ketenangan mu itu sehingga aku juga mampu merasakannya walaupun sedikit?”

“ Fahami Islam. Dalami Islam. Kamu akan dapat rasakan ketenangan itu.” Jawab Zaidy

“ Jadikan aku seorang Islam.” mata Tamara mula berkaca air.

“ Lafazkan syahadah. Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu persuruh Allah ”

“Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu persuruh Allah ” Tamara Migzar tersenyum dan secara tiba-tiba kedengaran bergema sedas tembakan. Peluru itu mengenai tepat pada dada Tamara.

“ AKU SUDAH ISLAM ”
Watikah Berpena Kasih #5

Bab 5
hatiku ini telah terpaut oleh seorang insan bernama Izad Zaquan

Izad Zaquan menapak menuju ke kamarnya. Wajahnya berjalur resah, gelisah, serabut dan tersirat dengan seribu satu tekanan. Nafasnya perlahan. Ditarik dalam-dalam, dilepaskan. Izad mengeluh. Hatinya cuba ditenangkan. Izad membasahi bibirnya dengan zikir, memandikan hatinya dengan kalimah-kalimah mengingati Allah SWT. Malam itu agak riuh. Kumpulan-kumpulan mahasiswa meriuhkan keadaan. Setiap hisbah (tingkat) di Mahallah Abu Bakar terdapat kumpulan itu. Keriuhan itu hadir dari jeritan sokongan peminat fanatik bola sepak. Malam itu menyaksikan perlawanan antara Manchester United menentang Everton. Izad Zaquan menundukkan kepala sambil berjalan.



"Izad. Izad Zaquan. Izad ohh Izad." Halim memanggil dari tempat duduk yang berhadapan dengan televisyen. 

Izad Zaquan tidak sedar panggilan sahabat sebiliknya itu dan meneruskan perjalanan. Biliknya tidak jauh dari ruang menonton televisyen itu. Sekiranya duduk di kawasan menonton itu pasti mudah untuk melihat sesiapa yang lalu lalang di kawasan blok C kerana blok C berhadapan dengan ruang menonton televisyen itu.

"Kenapa dengan Izad Zaquan ya? Macam ada sesuatu sahaja. Hmmm " sejenak hati Halim Lukman berdetik

@@@

"Assalamualaikum" Izad melangkah masuk selepas melepaskan kunci biliknya dari tombol pintu.
"Waalaikumsalam" salam itu bersahut.

Tirai kamar yang menutup laluan masuk ruangan Izad disingkap. Izad Zaquan duduk di katilnya lalu termenung seketika. 


Tidak lama kemudian, dia bangkit menanggalkan jubah putihnya dan meletakkan kunci dan telefon bimbitnya di atas meja. Jubahnya digantung dan tiba-tiba, Izad teringatkan sesuatu. Warkah merah jambu itu. Izad menyeluk saku jubah itu dan mengeluarkan warkah itu.



دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها ڤڽايڠ 

السلام عليكم ايزاد زاقوان. ديري اين تيدق ڤستي سام اد سلام اين باكل برساهوت اتاو هاڽ برڬيم د هوجوڠڽ. يڠ ديري كو ڤستي، ديريكو سداڠ منيتيڤكن سبواه واتيكه بوات سأورڠ انسان يڠ سوڠڬوه كو كاڬومي. سريبو كمعافن ترلبيه دهولو كو سمڤأيكن انداي واتيكه اين مڠوكير جالور كرسهن دان تكنن د ميندا مو. ڤركارا اوتام يڠ ايڠين كو بريتاهو كڤد مو اداله هاتيكو اين تله ترڤاوت اوليه سأورڠ انسان برنام ايزاد زاقوان. ديري كو مڠرتي بهاوا جودوه ايت دتنتوكن اوليه الهي. كيت جوڬ تيدق تاهو سياڤا يڠ باكل منجادي ڤاسڠن هيدوڤ كيت. اياڽ تله ڤون تروكير د لوه مهفوظ سجق كيت د دالم كندوڠن ايبو. تتاڤي ڤرتموان كالي ڤرتام ڤد مالم كمونچق  تعارف ويق  د سيني ممبواتكن هاتي كو تروسيك دان جيوا كو كاچاو. ديريكو تيدق ممڤو ممادم بايڠن وجهمو دري ماتكو. اين مروڤاكن تيتيڤن تعارف دري كو. واتيكه اين مڠوتوسكن سلام ڤركنلن دري سأورڠ انسان يڠ سداڠ بروسها منجادي مسلمه صالحه سجق ڤرتام كالي ديري اين چوبا مندكتي مو. اكو سنتياس بردعا اڬر ديري مو له يڠ باكل منجادي امام كو. دسيني ديري كو منجوال دوا راڠكڤ ڤنتون. سوديكه ساودارا ايزاد ممبليڽ.

مرنتسي سهارا هاوس تق تركات
ترجومڤا اير د دالم تلاڬ 
انداي ديري اين عبارت ڤرمات 
سوديكه ديڬيلڤ دان دجاڬ 

منبس كبون مڠڬونا بلاتي
بلاتي د اسه سوڠڬوهله تاجم
سريبو تاهون سڠڬوڤ كو ننتي
للاكي سڤرتيمو منجادي امام

يڠ مننت ,
اوفا فضلينا
(convert to rumi)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum w.r.b.t. Izad Zquan. Diri ini tidak pasti sama ada salam ini bakal bersahut atau hanya bergema di hujungnya. Yang diri ku pasti, diriku sedang menitipkan sebuah watikah buat seorang insan yang sungguh ku kagumi. Seribu kemaafan terlebih dahulu ku sampaikan andai watikah ini mengukir jalur keresahan dan tekanan di minda mu.Perkara utama yang ingin ku beritahu kepadamu adalah hatiku ini telah terpaut oleh seorang insan bernama Izad Zaquan. Diri ku mengerti bahawa jodoh itu ditentukan oleh Ilahi. Kita juga tidak tahu siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita. Ianya telah pun terukir di Luh Mahfuz sejak kita di dalam kandungan ibu. Tetapi pertemuan kali pertama pada malam kemuncak Taaruf Week di sini membuatkan hati ku terusik dan jiwaku kacau. Diriku tidak mampu memadam bayangan wajahmu dari mataku. Ini merupakan titipan taaruf dari ku. Watikah ini mengutuskan salam perkenalan dari seorang insan yang sedang berusaha menjadi muslimah solehah sejak pertama kali diri ini cuba mendekati mu. Aku sentiasa berdoa agar diri mu lah yang bakal menjadi imam ku. Disini diri ku menjual serangkap pantun. Sudikan saudara Izad membelinya.

Merentasi sahara haus tak terkata,
Terjumpa air di dalam telaga,
Andai diri ini ibarat permata,
Sudikah digilap dan dijaga

Menebas kebun mengguna belati,
Belati diasah sungguhlah tajam,
Seribu tahun sanggup ku nanti,
Lelaki sepertimu menjadi imam
yang menanti,
❤ Aufa Fadhleena ❤




Izad hanya mampu tergamam tatkala abjad-abjad watikah itu dibaca dan difahami. Apakah perasaan sebenar dihati Izad Zaquan ? ..




Bersambung..
Watikah Berpena Kasih #4



Bab 4
Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya (2:286).


♫ Duhai sahabat dengarkanlah.. 
Bicara hatiku ini..
Meskipun jarak memisahkan..
Namun tiada noktah kasih.

♫ Biarlah waktu menentukan..

Nilai ukhuwah yang terjalin..
Teruskan perjuangan ..
Ke titisan darah terakhir.



Sebuah alunan lagu nasyid berjudul Sahabatku daripada kumpulan nasyid muda, Devotees di dendangkan dengan penuh penghayatan oleh Afif Sabri, Aiman Zulkarnain dan juga Izad Zaquan. Setiap bait-bait lirik itu  disampaikan dari hati dengan harapan akan sampai ke hati. Nawaitu mereka di atur supaya tidak terkeluar dari landasan utama mereka iaitu untuk menyampaikan dakwah islamiah. 


♫ Dan aku..
Masih disini..
Terus mendaki..
Puncak tertinggi hidupku.

♫ Dan aku..
Terus menanti..
Saat yang manis..
Akan berulang kembali.

♫ Sahabat..


Aiman Zulkarnain menyusun nada mengakhiri lagu tersebut dengan keunikan dan kemerduan suaranya itu.

" Alhamdulillah selesai sudah latihan kita malam ni. " Afif berbicara mesra seraya melebarkan senyumannya kepada sahabat-sahabatnya.
" Alhamdulillah . Nanti nak ke Melaka macam mana ya? Ummi Rahimah ambil ataupun nak suruh akhi Fitri ambil sahaja?" tanya Aiman kepada Afif
" Pergi dengan akhi Fitri sahajalah. Susahkan ummi nanti. Lagi satu, sudah bagitahu akhi Fitri belum lagu apa yang akan kita persembahan? " Afif bersuara seraya memandang ke satu sudut yang kelihatan suram dan amat kontra dengan keadaan sekeliling.
 
" Akhi Fikri sibuk sikit di Politeknik Muadzam Shah tu. Susah nak angkat call . In shaa Allah nanti ana beritahu dia. " Aiman menjawab pertanyaan Afif.
" Izad, enta ada masalah? Dari tadi ana nampak enta diam sahaja" Afif memetik jari dua kali untuk menarik perhatian Izad yang sedang bermenung.
" Akhi Izad ohh akhi Izad. Fikirkan apa tu? Jauhnya mengelamun." Aiman berbicara dengan suara yang agak lantang membuatkan Izad Zaquan tersedar dari lamunannya.
" Ehh Asif asif. Ada apa tadi? " bicara Izad
" Enta ada masalah ? Cuba cerita pada kami."  Aiman berbicara dengan nada dan wajah yang penuh dengan ingin tahu.
" Tak ada apa-apalah. Masalah study sahaja. Jom. Dah lewat dah ni. " Izad berbicara seperti tergagap-gagap. Afif seperti memahami tindak-tanduk Izad.
" Baiklah. Al-Fatihah. " Aiman mengetuai bacaan doa kali ini. Itulah rutin latihan kumpulan nasyid Fawwaz. Bermula dengan doa. Berakhir dengan doa. Itu semua adalah untuk mendamba keredhaan-Nya. Mendamba kerahmatan-Nya.

Izad melepasi bangunan kafe Mahallah Abu Bakar dan meneruskan perjalanan ke padang sambil menyoal akal fikirannya dan kata hatinya. Pelbagai persoalan. Bukan persoalan mengenai watikah merah jambu pemberian akhawat itu. Tetapi ummi. Izad Zaquan memikirkan umminya di kampung dan mengimbau peristiwa petang tadi.

@@@

Petang itu,gumpalan awan mendung di luar masih menangis dan menggugurkan titisan-titisannya. Tetapi kelihatan esakan sang awan seperti hanya tinggal sisa. Tiada guruh yang berdentum. Tiada juga sang bayu yang meniup deras. Hanya gerimis yang menitik. Mentari langsung tidak kelihatan. Hilang entah ke mana.  Izad Zaquan menyingkap tirai kamarnya dan merenung di luar jendela. Kelihatan beberapa mahasiswa berlari-lari anak sambil menjunjung buku bagi melindungi kepala mereka dari dibasahi titisan hujan. Degupan  jantung Izad Zaquan seperti tidak kena. Mindanya seperti tiada haluan. Izad merasakan sesuatu. Seperti ada sesuatu yang sedang berlaku. Hatinya berasa seperti serba tidak kena. Tiba-tiba, telefon nokianya berdering. Izad menderaskan langkahnya dan mencapai telefon bimbitnya itu.

" Assalamualaikum. Along. Liya ni. Along ada kelas sekarang ni? " kedengaran suara gadis yang agak lembut berbicara
" Waalaikumsalam. Ya Liya. Petang ni along tak ada kelas. Ada apa? Ummi sihat? " salam disahut lantas bertanya.
" Liya nak bagitahu tentang ummi lah ni. Pagi tadi ummi ada masalah bleeding lagi. Kali ni teruk sikitlah. Liya dah bagitahu ummi jangan buat kerja berat-berat. Tapi ummi degil. Pak Cik Yusri yang hantar ummi ke klinik tengahari tadi." suara itu berbicara kesedihan.
" Ya Allah. Patutlah along rasa ada benda tak kena. Jadi, ummi dekat mana sekarang? " Izad Zaquan terkejut mendengar situasi umminya.
" Ada di rumah. Tengah berehat. Doktor ada bagi ubat banyak. Kesian Liya tengok ummi." terdengar seperti esakan kecil dari suara Aliyana Nasuha.
" Along nak cakap dengan ummi. Boleh? "
" Ummi tidurlah along. Nantilah Liya call along balik. Nak siapkan bubur untuk ummi ni. "
" Baiklah. Jaga ummi. Liya ingat ya, jangan sekali-kali terlepas dari tali pergantungan kita. Hanya Dia yang mampu bantu kita. Ini semua ujian dari Allah. Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya (2:286)."
" In shaa Allah. Liya sentiasa ingat. Ok lah. Jaga diri ya along. Assalamualaikum." suara itu terhenti dengan salam
" Waalaikumsalam." Izad Zaquan menjawab salam lantas meletakkan telefonnya di pinggir meja.


@@@

Kelihatan sang rembulan sudah mula menampakkan dirinya. Tidak lagi berselimutkan gumpalan awan. Bintang-bintang masih lagi mengeripkan kilauannya. Malam itu sungguh tenang begitu kontra dengan jiwa Izad Zaquan. Kedengaran bunyi beberapa kenderaan yang merentasi Jalan Universiti yang bersebelahan dengan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa. Mata Izad Zaquan berkaca dengan air mata. Jarang sekali matanya mengeluarkan titisan itu. Tetapi malam itu, ia berlaku. Izad berbicara sendiri sambil duduk di kerusi yang berhadapan dengan padang. Seorang diri.


" Ummi, andai along mampu pulang dengan segera, along pasti pulang. Along akan jaga ummi macam mana ummi jaga arwah abi dulu. Along akan sentiasa disisi ummi. Ya Allah, tolong jangan ambil ummi sekarang Ya Allah. Aku masih memerlukan dia."

Izad Zaquan berbicara dan tanpa disedari air matanya tumpah. Hatinya sangat sebak. Nafasnya sungguh sesak. Dia menangis teresak-esak. Sendirian, Izad berbicara lagi.

" Abi, Izad rindu abi. Wallahi. Izad sangat merindui abi" Izad berbicara sambil mendongak ke bintang lalu menutup kelopak matanya seketika.

Izad kembali tenang. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya lalu melepaskan hembusan itu perlahan-lahan. Air matanya yang berjujuran itu tadi disapu. Izad Zaquan bangkit untuk kembali ke biliknya. Langkahnya seperti lemah. Tetapi dia harus teruskan langkah longlainya itu.


Bersambung...


Watikah Berpena Kasih #3

Bab 3
Siapa? Siapa?..


Langit malam itu dihiasi oleh butiran-butiran bintang yang mengerdipkan kilauannya. Kelihatan sang purnama seperti segan silu untuk menjelmakan diri. Sudahlah hanya separa menjelma, bersembunyi pula disebalik gumpalan awan mendung yang mungkin ketinggalan dari tengahari tadi. Malam itu sungguh dingin mungkin kedinginan bawaan hujan yang membasahi bumi sejak tengahari hingga ke waktu senja. Izad Zaquan duduk tersimpul sambil menadahkan tangannya mengaminkan doa Imam Masjid Kolej Islam Malaya. Mukanya kelihatan sungguh tenang kerana dia merasakan sungguh hampir dengan Allah SWT. Matanya terpejam dam menampakkan alis matanya seperti bercelak tetapi sebenarnya tidak. Wajahnya yang sederhana cerah dan bersih itu diraup dengan kedua-dua tapak tangannya setelah bacaan doa yang dibacakan imam selesai. Izad Zaquan memalingkan tubuhnya yang tidak begitu berisi dan tidak juga begitu kurus itu ke arah sekelilingnya lalu berjabat dengan semua jemaah yang hampir dengannya. Ada juga yang mengucapkan tahniah atas hasil karya nukilannya yang disebarkan di surau setiap Mahallah di UIAM itu. 

Izad Zaquan bangkit berdiri dan memulakan langkah kecilnya menuju ke arah pintu keluar. Sambil mulutnya terkumat-kamit mengagungkan Ilahi dan tasbih putih itu disentuh setiap butirannya, Izad Zaquan mencapai capalnya dan menyarungkan ia di kakinya lantas meneruskan perjalanannya menuju ke arah bangunan yang menempatkan kelas-kelas kosong yang berhampiran dengan perpustakaan. Langkah kakinya terhenti melihat sekumpulan akhawat yang berkumpul di hadapan pintu masuk dan menghalang laluan masuk itu. Izad Zaquan mengambil keputusan untuk duduk di kerusi yang disediakan di hadapan pintu keluar masjid itu. Sedang hanyut di dalam kalimah-kalimah zikir, satu suara kedengaran tidak jauh darinya. 

" Assalamualaikum ya akhi. Kaifa haluka?" suara itu berbicara dengan penuh mesra.
" Waalaikumsalam ya Munif. Alhamdulillah ana bi khair. Tafadhal bil julus" jawab Izad lantas bangkit bersalaman dan berpelukan dengan sahabatnya itu. 

Kedua-dua mahasiwa itu melabuhkan punggung mereka di atas kerusi merah itu lantas meneruskan perbualan.



" Enta nak ke mana lepas ni ? " tanya Muhammad Munif kepada Izad Zaquan.
" Ana ada latihan nasyid di bilik LY 012 untuk persembahan nasyid di Melaka nanti. Enta pula nak ke mana? Bila nak meeting untuk artikel baru? " Izad Zaquan bertanya.
" Nasyid ? Busy betul sahabat ana ni. Jauhnya sampai ke Melaka. Haha. In shaa Allah, ana akan mesej bila nak meeting nanti. Straight to the point lah ya. Sebenarnya ana nak sampaikan sesuatu yang orang amanahkan dekat ana ni. Seorang akhawat. Ini dia. " 

bicara Munif lalu bertukar nada dari nada bicara yang biasa kepada nada berbisik yang perlahan seraya mengeluarkan sepucuk surat berwarna merah jambu lantas menyerahkan ia kepada Izad Zaquan.






" Apa ni? Dari siapa? " Izad bertanya. 

Di kotak pemikiran Izad bersiponggang dengan pelbagai persoalan dan ianya datang sungguh bertubi-tubi tatkala warkah itu berada di genggaman tangannya.

" Ambil sahajalah. Yang penting amanah orang ini telah ana sampaikan. Baiklah ana nak balik Mahallah dulu. Jumpa esok ya, In shaa Allah." Munif berlalu pergi tanpa setelah berjabat dengan Izad Zaquan.
" Perlukah surat ini ku baca sakarang? " 


Izad berbicara dengan hati dan akalnya seraya meraba surat itu yang kini didalam poket jubah hitamnya.



Izad termenung memikirkan sesuatu. Tiba-tiba bahu kanannya ditepuk. Izad Zaquan sedikit terkejut akan kehadiran sapaan fizikal tidak bersalam itu.



" Izad Zaquan. Apa yang dimenungkan tu? Macam rumit sangat sahaja. Boleh kongsi dengan ana? Manalah tahu ana dapat tolong. "
" Ehh , Aiman. Afif pun ada. Ana ingat enta dah tunggu di LY 012 tadi. Tak ada apalah. Jom berlatih. Ana tunggu di sini sebab ada akhawat berkumpul di depan sana tadi." Izad berbicara seraya menghalakan jari telunjuknya ke arah pintu masuk bangunan LY .
" Ohh. Ok. Dah tak ada orang dah tu. Jom. " Afif Sabri mengajak dua orang sahabatnya itu. Mereka bertiga bersama menuju ke arah bangunan itu. 

Persoalan-persoalan tadi masih bermain di fikiran Izad.

" Siapa? Siapa?.. " soalan itu enggan keluar dari minda Izad Zaquan.
Bersambung..
Watikah Berpena Kasih #2

Bab 2
Itu kali pertama dan akan kekal dalam ingatan

"Haaa... Apa yang dipandang tu? Pandang abang Izad ke? Masih terkenang kes tempoh hari ya. Dia tinggal satu sem sahaja di sini. Tak sempat pun awak nak mengurat dia Deena Syahidah oii. " 
sergah seorang gadis dengan bersahaja yang memiliki kulit yang halus dan berselendang labuh bercorak bunga.
"Ya Allah. Hafizah. Terperanjat tau Deena. Awak ni suka ya kawan awak ni lemah jantung. Lagi satu, siapa yang nak mengurat abang Izad. Deena cuma malu lah nak berjumpa dengan dia. Ingat tak kisah masa program lawatan hari tu. Deena lupa nak ucap terima kasih dengan abang Izad. " 
balas Deena sambil mengusap-usap dadanya yang sedikit terkejut dengan kehadiran Hafizah Ilya, sahabat karibnya itu.



@@@


Hafizah mengimbau kembali kisah yang dikatakan oleh Deena Syahidah. Mereka menyertai sebuah program lawatan ke tempat-tempat yang menarik sekitar Kuala Lumpur dan lawatan itu di sertai kira-kira 25 orang mahasiswa dan 30 orang mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa. Suatu ketika, menjelang waktu solat Asar, rombongan itu berhenti di Masjid Negara yang terletak berhampiran dengan Pasar Seni. Setelah selesai menunaikan solat Asar,

" Deena, Deena.. Jom ke kedai cenderahati bawah tu. Hafizah nak beli sesuatu untuk kirim dekat adik dengan mak. Boleh ya?. " bicara Hafizah sambil melipat telekung putihnya itu.
" Hafizah, nanti lama pula kawan-kawan lain tunggu dekat bas. Tak perlu lah ya. Next time. Suatu masa nanti, Deena bawa Hafizah ke sini tau. " balas Deena lalu memperkemaskan lagi purdah hitam dan tudung yang dipakainya.
" Please Deena. Awak tu selalu sibuk. Bila masa lagi kita nak keluar macam ni. Hafizah janji sekejap sahaja kita di sana. Please. " rayu Hafizah dengan penuh mengharap.

Kelembutan hati Deena membuatkan dia tewas dengan rayuan sahabat baiknya itu. Mereka dengan langkah yang pantas menuju ke kedai cenderahati. Hati Hafizah seperti berbunga apabila tiba di kedai itu. Matanya dibuka seluas-luasnya untuk mencari hadiah yang dirasakan sesuai buat ibu dan adiknya.


Deena hanya menunggu dipinggir kedai sambil membelek-belek Terjemahan Al-Quran  berwarna coklat gelap. Sedang membaca terjemahan dari beberapa buah surah, satu suara sedikit garau menerpa membuatkan Deena Syahidah sedikit terkejut.

" Assalamualaikum. Anty ini mahasiswi UIAM kan? " 
" Waalaikumsalam. Ya. Ada apa? " Deena meletakkan Al-Quran itu lantas menoleh ke belakang.
" Ana committee yang bertugas untuk program lawatan ni. Maaflah ya, kita harus bergerak sekarang takut tersangkut dalam jam pula." dengan sopan lelaki itu bersuara.
" Ya Allah. Asif jiddan. Baiklah ana segera. Sebentar ya." balas Deena lalu dengan pantas dia masuk ke dalam kedai untuk memanggil Hafizah dan membawa dia kehadapan kedai.
" Sudah? Mari. " lelaki itu bersuara lagi lantas meneruskan perjalanan ke arah tangga di sebelah barat Masjid Negara.
" Hafizah, mana kasut Deena ya. Deena yakin Deena letak di sini tadi. Jangan hilang sudah" Deena berbicara sambil menghalakan jari telunjuknya yang bersarung tangan hitam itu ke satu sudut dan  kebimbangan mula menular dalam dirinya.
" Jangan-jangan di curi orang " balas Hafizah dan membuatkan Deena semakin risau.
" Ada apa-apa masalah ? " lelaki itu menghampiri.
" Kasut sahabat saya ni hilang. " bicara Hafizah sambil menujukan jari telunjuknya yang mulus itu ke arah Deena Syahidah.
" Hilang ?. Sebentar ya. " lelaki itu berbicara lantas berlari ke arah bas.

Sambil menunggu lelaki itu kembali, Deena dan Hafizah mencari-cari kasut berjenama Bonia berwarna hitam itu di sekitar kawasan tersebut tetapi tidak juga membuahkan hasil. Selang hanya beberapa minit, lelaki itu kembali dan memberikan selipar berjenama Bata kepada Deena.

" Nah, pakailah ini buat sementara waktu. Segera ya, yang lain sudah menunggu " bicara lelaki itu dengan nada yang perlahan dan terus menuju ke bas.
@@@

" Mesti masih segarkan kisah tu dalam ingatan Deena. Hari tu, lepas naik bas sampai balik ke Mahallah, Deena tak habis-habis kata abang tu baik. Sampaikan Deena berani tanya dekat Kak Arliza senior kita tu " bicara Hafizah lantas mencuit bahu Deena Syahidah
" Itu kali pertama dan akan kekal dalam ingatan " balas Deena dalam keadaan termenung seperti separuh sedar.

Dooom.. Mereka dikejutkan dengan dentuman guruh di langit. Imbauan kisah di Masjid Negara itu terputus begitu sahaja bagai di bawa angin yang bertiup. Hafizah menatap ke arah langit, kelihatan kepulan awan hitam berarak menggantikan langit biru lalu menjadi bumbung kepada bumi Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya itu.

Bangunan-bangunan yang berhampiran dengan Dewan Al-Malik Faisal ataupun lebih di kenali dengan nama AMF Hall semakin pudar kecerahan warnanya. Semakin kelam dan terus kelam. Suasana di sekitar UIAM itu dengan serta-merta menjadi suram. Kelihatan  pohon-pohon merelakan hembusan angin kencang itu mencederakan diri sehingga begitu banyak daun berguguran. Akhirnya terlihat seperti titisan kilauan mutiara bawaan gumpalan awan hitam itu bertaburan dan membasahi seluruh bumi itu.

" Ala, hujan lah Deena. " keluh Hafizah
" Hujan ini rahmat tau. " bicara Deena lantas tersenyum
" Awak, saya ni mengeluh sebab baju kita yang dijemur, belum di angkat. " balas Hafizah
" Iyalah. Cepat-cepat angkat kain. Aduhai, kenapa lah hujan pula. " 
" Deena, hujan kan rahmat. Hehe " Hafizah berbicara lalu tersenyum sinis kepada Deena sambil mengangkat kedua-dua kening halusnya itu.

Bersambung...
All content found on this blog © Azid Azidee unless otherwise stated.
Layout codes by Fiffy. Sidebar Hover Eff by: Eoedesigns Image Hover Eff by: Janani Pixels by: pixeldiary.

Pena Qalbu
it came from deep heart and hopefully will touch the other heart

Pemilik Pena

sang pengabdi abadi kepada Al-Mubdi bernama Azid Azidee. Azan dan iqamat pertama itu berkumandang tatkala tubuh kecilku disambut di Bintangor,Sarawak pada subuh 1 Mei 1994. Penelaah ilmu ilahi di medan pengetahuan Taman Ilmu dan Budi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Zayyan Facebook Twitter
Instagram thePRISM jemari teman

Recent Post

Cerpen : Anak Yahwe Melafaz SyahadaWatikah Berpena Kasih #5Watikah Berpena Kasih #4Watikah Berpena Kasih #3Watikah Berpena Kasih #2Watikah Berpena Kasih #1Sebuah permulaan.Dongeng Sang MahasiswaBumi ini Bumi baru.Awak sudi jadi isteri kedua saya?

MySpace Hit Counter