Cerpen : Anak Yahwe Melafaz Syahada


Titisan lebat bawaan gumpalan awan hitam malam itu, menyirami bumi. Kilat petir sabung-menyabung, susul-menyusul. Guruh berdentum seraya mengeluarkan cahaya putih terang-benderang yang memancari bumi. Petir terus menerus melibas alam. Tampak ganas dan mengerunkan. Sang  pungguk menangis kerana gumpulan awan hitam itu seakan menjadi tembok buat sang rembulan menyembunyikan diri. Suasana di bumi itu begitu kontra dengan penghuninya. Kebanyakannya sudah menyelimuti tubuh kerana kesejukan dan merelakan roh mereka berterbangan merata. Pelbagai kerenah, pelbagai ragam.

“ Ini pasti akan berjalan lancar. Zaidy Hamidy. Tunggu masanya ” bicara hati seseorang bermata kehijauan seraya tersenyum sinis di hadapan komputer ribanya.

Kerjanya cukup mudah. Hanya perlu memastikan beg galas berisi bahan letupan itu berada di dalam bilik Zaidy Hamidy dan memerhatikan tindak tanduk pemuda itu. Semestinya tanpa pengetahuan pemuda Malaysia itu. Tugasan seterusnya diserahkan kepada ejen-ejen Luke Gitadov yang lain. Yang akan diletupkan ialah bangunan Affnia Manhattan Hotel yang terletak di jantung kota New York berhampiran Madison Square Garden. Yang akan hadir pula, orang-orang korporat yang datang dari pelbagai pelusuk dunia. Ini berlaku pada sabtu akan datang. Motif utamanya adalah kesan daripada pengeboman itu. Media pasti akan menghentam Islam seteruk-teruknya. Ya, perancangan yang cukup terperinci oleh Luke Gitadov

“Aku sangat gembira kerana aku bakal melakukan sesuatu yang besar buat agamaku. Ya, cukup besar. Akulah anak Yahwe yang mulia” Dia berasa bangga kerana dapat mengabdikan hidupnya untuk kejayaan sebuah negara yang dijanjikan Tuhan di dalam Talmud.
…….
Sang mentari memancarkan sinarannya untuk menyinari bumi Ilahi. Tidak terkecuali tanah maju dan membangun itu, New York. Kicauan burung menambah resepi indah pagi. Walaupun jalan-jalan sesak dan riuh, burung-burung itu seperti sengaja memekakkan telinga dan terus menyusun nada-nada merdu, mendendangkan irama pagi. Seperti pagi-pagi biasa, Zaidy Hamidy, seorang penelaah ilmu di Columbia University bangkit dari tidurnya seawal subuh. Diteruskan paginya dengan memberi sedikit santapan rohani pada diri, mengungkap nama-nama ilahi, membilang butir-butir tasbih suci dan tidak ketinggalan mendalami kisah-kisah wali dan sufi melalui kitab-kitab buat hamba Al-Mubdi juga rutin terpenting iaitu menghayati kitab yang terisi kalam dari Ilahi buat pengabdi abadi. Kini, Zaidy Hamidy bersiap untuk rutin seterusnya iaitu menyelami ilmu di jeladeri pengetahuan yang tiada penghujungnya.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku. Bukakanlah kepada kami sebagaimana orang yang arif, kurniakanlah kami kefahaman para nabi dan ilham para malaikat yang hampir denganMu, dengan rahmatMu wahai Tuhan yang maha pemurah lagi maha penyayang. ” wajah Zaidy Hamidy diraup.

Langkah pertamanya diatur berpasakkan azam yang tinggi serta semangat yang utuh. Zaidy melintasi Jalan Bradhurst yang berhampiran Drew Hamilton Health Center dan melalui Deretan kedai-kedai di Jalan 143rd. Tiba-tiba kedengaran suara yang agak garau dan sedikit pelat menyapa.

“Zaidy!! tunggu sebentar. Lajunya awak jalan.” Kelihatan seorang pemuda bertubuh yang agak rendah berlari-lari anak ke arah Zaidy.

“ Yes, Ted McKinley. Sudah lancar bahasa melayu anda. Congratulation.” Zaidy berbicara mesra

“ Saya Cuma tahu cakap sikit-sikit. Sudah. Cepat nanti late to class”

“ Late to class tu, bahasa melayunya lewat ke kelas lah. Jom.”

Zaidy sempat terpandangkan seorang gadis yang seperti sedang memerhatikannya. Wajahnya samar-samar dan sukar dikesan. Siapa? Dibiarkan. Zaidy dan sahabatnya itu meneruskan perjalanan ke destinasi sambil tertawa. Gadis bermata bundar itu memerhatikan Zaidy dan Ted McKinley menyeberangi jambatan Edgecombe dan kian samar dari pandangan lalu hilang disebalik bangunan-bangunan disitu. Gadis berwajah putih bersih itu membetulkan selendang merahnya yang dibelai angin dan meneruskan langkahnya.

Kelas Psikologi di dewan kuliah tengahari itu selesai. Madam Cataline menitipkan tugasan baru buat semua mahasiswa di kelasnya lalu meninggalkan mereka. Wajah Zaidy berjalur resah, gelisah, risau dan tersirat seribu satu tekanan. Tangannya diraba-raba ke dalam saku juga beg galasnya. Ternyata tidak membuahkan hasil. Hanya membarahkan kecepuan di benak fikiran.

“ Mana kunci rumah? Bukankah sudah diletakkan di bahagian sini?” pemuda itu bermonolog sendirian sambil meraba-raba salah satu saku beg galasnya.

“ Ada apa-apa yang bisa ku bantu. Kamu kelihatannya kok keruan. Lagi cari sesuatu ya?” kedengaran suara gadis Indonesia berbicara. Ternyata itu Sariyanti. Seorang gadis Indonesia tetapi memiliki wajah yang berbeza dengan gadis Indonesia yang biasa. Hidungnya mancung tetapi sedikit besar di hujungnya. Matanya bundar dan memiliki alis mata yang tajam. Kulitnya tidak gelap dan tidak begitu putih. Mungkin anak Nusantara berdarah kacukan.

“ Eh, Sariyanti. Saya sedang mencari kunci rumah saya. Saya yakin saya letakkan ianya di sini” jawab Zaidi seraya menepuk-nepuk lima jari mulusnya itu di atas satu bahagian pada begnya.

“ Aku lihat tadi sepertinya ada yang buru-buru keluar dari ruangan kuliah. Siapa namanya ya?. Haa, Lyudmila. Lagikan pula, tempohari dia dicekup mencuri laptopnya Fizo.” Sariyanti cuba menuduh seorang gadis sekelasnya yang sering beraksi dengan tindakan yang mencurigakan.

“ Saya tidak mahu tuduh sembarangan. Mungkin ini disebabkan kecuaian saya.” Zaidy tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh Sariyanti.

Gadis Indonesia itu berlalu pergi dan sebelum keluar dibalik pintu, sempat dia berpesan “Andai kamu butuh aku, hubungi saja ya” Gadis itu tersenyum nakal.

……

Pintu usang itu diketuk. Salam dilaungkan. Beberapa jeda kemudian, salam itu bersahut. Kedengaran selakkan kunci dan pintu itu terkuak. Kelihatan seorang lelaki berusia lewat 50-an menyambut mesra tetamunya. Bersalaman lalu berpeluk. Sunnah Rasulullah SAW yang cukup indah yang mampu mengeratkan lagi tali ukhuwah. Tetamunya dijamu dengan teh panas juga snek-snek ringan. Kedua-dua lelaki itu berbual mesra.

“ Burhan Fahmy ke mana?” bicara lelaki lewat 50-an itu

“Masih di Charlotte. Sedang menyelesaikan urusannya. InshaAllah lusa balik. Kalau dia di sini, pasti ana tak menyusahkan Ustaz. Terima kasihlah banyak-banyak Ustaz Rifqi. Kalau tidak, tak tahulah ke mana arah ana malam ni. Mungkin tidur di Masjid, mungkin juga merempat di tepi jalan. Hanya Allah yang mampu membalas jasa Ustaz.” bicara Zaidy

“ Zaidy, ana dah anggap enta macam anak sendiri. Tak menyusahkan pun. Kalau ada apa-apa masalah bagitahu sahaja. Lagi satu perkara, Ana nak minta tolong sesuatu boleh?”

“ InshaAllah, andai ana mampu, akan ana usahakan. Apa dia Ustaz?”

“ Ana ada urusan penting bersama beberapa lagi Ustaz sabtu ini. Tetapi pada masa yang sama, Ana perlu menyampaikan ceramah untuk sebuah forum. Jadi, Ana mahu enta gantikan ana. Tajuk forumnya “God in Modern Era”. Macam mana?”

“Cukup besar tanggungjawab tu. Kenapa Ustaz Rifqi percaya pada ana?

“ Ana yakin, enta boleh. Ana perhatikan, enta bukan sahaja seorang muslim yang memahami Islam, tetapi kamu juga mendalami dan  mempraktikkan Islam itu sendiri. Lagipun, istikharah ana yang memberi jalan. Allah SWT pasti akan bantu enta.”

“ Kalau begitu, inshaAllah. Ana sedia.”

Malam itu, bumi itu sungguh dingin. Jarang sekali hujan menyirami bumi ini. Tidak ramai manusia yang ingin keluar dalam keadaan suhu yang sebegini dingin. Kedengaran derapan tapak kaki. Begitu kencang seperti nafasnya. Dada pemilik nafas kencang itu kembang kempis seperti berombak. Kelihatan susuk tubuh yang bersarungkan baju hujan berwarna gelap muncul dari belakang kedai Candy Factory. Matanya melilau memerhati keadaan sekeliling. Tangan kirinya dibiarkan bebas berhayun manakala tangan kanannya seperti memeluk sesuatu. Apakah itu? Lariannya yang tadi kencang serta-merta terhenti. Kepalanya yang dilindungi baju hujan itu ditoleh ke kanan dan kiri. Keadaan sunyi sepi. Tiada seorang pun. Hanya kedengaran titisan lebat yang jatuh ke bumi. Langkahnya perlahan menuju ke jendela sebuah rumah. Setelah memastikan rumah itu tidak ada penghuninya, dengan langkah yang cukup pantas dia menyarungkan sarung tangan, mengeluarkan kunci di saku baju hujannya lantas membuka pintu lalu masuk ke dalam.

Wajahnya mengukir senyuman. Senyuman yang berintikan rencana jahat. Kini dia di dalam rumah. Misi seterusnya, mencari kamar Zaidy Hamidy. Di mana? Langkahnya perlahan menuju ke sebuah kamar yang tertulis “Don’t Disturb. Zaidy is busy”. Pasti itu kamarnya. Tombol pintu itu digengam lantas pintu itu dibuka. Dia memasuki kamar kecil itu. Seperti ada satu aura. Sungguh tenang. Tenangnya hampir membuatkan kelopak matanya terpejam. Aura apakah itu? Kelihatan beberapa buku tebal yang terukir tulisan yang agak aneh baginya. Bukan abjad, bukan juga nombor. Adakah itu tulisan jawi? Kamar itu kelihatan berbeza. Seperti bercahaya tetapi lampu tidak pun dipasang. Ini seperti ketenangan yang dicari-cari selama ini. Tiba-tiba, syaitan menarik kembali hati yang sedang melayang ke arah ketenangan. Dia harus selesaikan tugasnya. Dia mencari sudut yang sesuai untuk dia letakkan sesuatu yang berada dalam pelukan tangan kanannya. Jumpa. Barang itu dilepaskan dari pelukan dan dikeluarkan. Ternyata itu adalah beg galas yang terisi bahan letupan. Diletakkankan ia di celahan almari. Selesai .

……..

Burhan Fahmy membaca sebuah poster di sebuah papan kenyataan berdekatan kantin.   Forum : God in Modern Era. Matanya membulat apabila menyaksikan nama sahabat serumahnya, Zaidy Hamidy b. Yosree tersenarai sebagai salah seorang penceramah dan sahabatnya itu bakal mengupas mengenai agama Islam. Burhan Fahmy terus mengamati poster itu dan mendapatkan lagi beberapa maklumat.

Zaidy baru sahaja tamat kelasnya hari itu. Dia menyimpan komputer ribanya ke dalam beg galas. Tiba-tiba Sir Patrick Stinson memanggilnya. Zaidy meninggalkan begnya seketika di kerusi lantas menuju ke arah Sir Patrick. Pensyarahnya itu hanya mahu menanyakan tentang program forum itu dan mengucapkan semoga berjaya untuk forum itu. Zaidy mengucapkan terima kasih dan dia hanya mampu tersenyum. Zaidy kembali ke kerusi dan menyusun beberapa barang lalu dimasukkan ke dalam begnya. Tiba-tiba wajah Zaidy berubah. Zaidy terkejut kerana kunci rumahnya yang dicari telah dijumpai. Zaidy mengerut kehairanan. Bagaimana kunci itu boleh berada di begnya sedangkan dia sudahpun mengeledah setiap sudut begnya itu tempohari. Zaidy terdiam dan hanya bersyukur.

Zaidy mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Langkahnya terhenti tatkala kedengaran suara seorang gadis dari arah belakang.

“ Hello, Zaidy.” Bicara seorang gadis berwajah putih bersih dan berselendang merah seraya melemparkan senyuman

“ Hi, do I know you? balas Zaidy

“ I don’t think so. I’m Norrish Stinson. I just want to ask you a few question. May I? Are you one of the speakers for this saturday’s forum?”

“ Yes. I will talk about Islam. Let’s come and gain a new knowledge.”

“ I’ll come with my father. He really knows you.”

“ Really. Who’s your father? ”

“ Sir Patrick Stinson. There he is. Ok see you on Saturday.

Zaidy melemparkan senyuman ke arah pensyarah Sosiologi dan Artopologinya itu. Kereta BMW yang dipandu oleh pensyarahnya itu diperhatikan sehinggalah kelibat kereta itu hilang dari pandangan. Tiba-tiba pandangannya bertukar arah ke susuk tubuh yang tidak asing baginya. Sariyanti. Sariyanti terpandang wajah Zaidy lalu terus menuju ke arah pemuda itu.

“ Sariyanti, kenapa macam tergesa-gesa ni? Ada hal mustahak kah?”

“ Aku harus pulang ke Surabaya. Ada urusan keluarga.”

“ Ohh. Bila kamu akan bertolak? "

“ Malam ini. Kenapa? "

“ Jadi kamu tidak akan mengikuti forum...” bicara Zaidy terhenti. Telefon bimbit Sariyanti berdering. Dengan pantas gadis Indonesia itu menjawab panggilan. Sariyanti menunjukkan isyarat bahawa dia harus pergi dan memohon maaf. Zaidy memahami dan merelakan gadis itu berlalu pergi. Wajah Sariyanti seperti sedih melihat Zaidy. Entahlah mengapa.

……

Allahu Akbar, Allahu Akbar!!. Azan solat Jumaat di Masjid New York berkumandang. Barisan saf itu dipenuhkan. Kelihatan ramai muslim berhimpun menunaikan solat berjemaah. Wajahnya berbeza-beza. Bangsanya juga berbeza-beza. Tetapi menyembah Tuhan yang sama, Allah swt. Dilakukan mengikut urutan. Takbir, ruku’, sujud, dan akhirnya tahiyat akhir. Assalamualaikumwarahmatullah. Kepala ditoleh ke kanan. Assalamualaikumwarahmatullah. Kepala ditoleh ke kiri. Zaidy meraup wajahnya yang sedikit cerah. Selepas mengungkapkan zikir-zikir tanda kesyukuran, doa Imam Al-Sayudi dihayati dan diaminkan. Selesai doa. Zaidy berjabat dengan jemaah yang lain. Tiba-tiba kelihatan seorang lelaki berusia lingkungan 60 tahun melambai-lambai memanggil Zaidy.

“ Pemuda, Allah swt akan memberikan mu ujian. Maka tabah dan sabarlah.” Lelaki tua itu berbicara seraya berlalu pergi. Zaidy kehairanan. Dahinya berkerut seribu. Apakah yang akan berlaku?

…...

Nafasnya kencang. Degupan jantungnya sungguh pantas. Tidak pernah sepantas itu. Tangannya sedikit menggigil. Kakinya turut menggigil. Kenapa gugupnya sebegitu sekali?. Zaidy memohon ketenangan dari Allah swt. Dia inginkan ketenangan agar hujah-hujahnya disampaikan dengan begitu jelas. Dewan itu penuh. Kerusi yang tersedia tidak mampu menampung penonton yang begitu ramai. Ada yang merangkulkan kaki ke dalam silaan meskipun di lantai. Ada juga yang sanggup berdiri. Begitu ramai yang menghadiri forum itu. Forum itu dimulakan dengan kenyataan dan hujah dari agama Kristian diikuti agama Yahudi seterusnya Hindu dan Budha. Kini Prof. Yael Mitkazov, seorang yang terkenal dengan tulisannya yang menyatakan bahawa Tuhan Sudah Pupus, sedang menyihir para penonton dengan hujah-hujahnya yang kedengaran meyakinkan. Dia mengukuhkan hujahnya dengan menyatakan bahawa ilmu pengetahuan adalah Tuhan yang sebenar. Dewan semakin hangat.

Kini tiba giliran Zaidy Hamidy. Ketenangan itu tiba-tiba sahaja sampai terus masuk ke dalam hatinya. Setelah mengambil nafas yang panjang, Zaidy memulakan bicaranya.

“ Dia seperti binatang buas. Yang sedang merobek-robek Tuhan dan membinasakan Tuhan sebinasa-binasanya. Di dunia ini, Tuhan menyayangi orang yang beriman kepadaNya, juga menyayangi orang yang mengingkariNya. Ada juga manusia yang begitu berani menyatakan bahawa Tuhan telah dilenyapkan oleh ilmu pengetahuan. Orang seperti ini juga disayangi Tuhan. Tetap diberikan nikmat kepadanya.  Tuhan tidak memerintahkan jantungnya berhenti berdegup. Tuhan juga tidak memerintahkan hatinya berhenti menapis racun. Tuhan masih memberikannya kesempatan untuk terus hidup. Adakah dengan ilmu pengetahuan, manusia yang tidak mengimani adanya Tuhan ini mampu menghentikan gempa bumi? Adakah dengan ilmu pengetahuan manusia ini mampu menghentikan banjir yang cukup besar ataupun Tsunami? Adakah dengan ilmu pengetahuan, manusia ini mampu melepaskan diri dari proses penuaan dan kematian? Ada juga manusia seperti Prof Yael Mitkazov ini yang memupuskan kewujudan Tuhan suatu ketika dahulu. Mengagungkan dan bertuhankan ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan yang dia miliki, adakah dia masih bernafas? Dia juga seperti binatang buas tetapi di akhir hidupnya dia merengek seperti bayi menginginkan kehidupan yang berpanjangan. Kenyataan ini menyedarkan manusia sebagai makhluk yang lemah. Membawa manusia meyakini bahawa adanya satu Zat yang berkuasa sepenuhnya yang mampu mengubati segala penyakit. Yang dapat menghidupkan dan mematikan. Yang memiliki kuasa yang tidak punya batasan. Yang kekal. Yang Abadi. Tidak akan tidur. Tidak akan mati, kerana Dialah pencipta kematian. Dialah Tuhan. Dialah Allah. Tuhan sekalian alam.”

Tepukan begitu gemuruh dari penonton buat Zaidy Hamidy. Ramai yang bangkit tanda setuju, kagum dan terpaku dengan kata-kata Zaidy yang padat begitu menikam, bersahaja, tegas dan garang.  Prof. Yael Mitkazov yang menggengam jejari mulusnya tanda geram dan tidak berpuas hati dengan Zaidy Hamidy sejak awal pemuda itu berhujah, tiba-tiba menyedari sesuatu. Zaidy Hamidy mengukir senyuman sambil memandang sekeliling. Kelihatan beberapa orang yang dikenalinya seperti Burhan Fahmy, Ted McKinley, Norrish, Sir Patrick Stinson, Madam Cataline dan beberapa lagi turut memberikan tepukan gemuruh. Forum itu tamat. Penonton bersurai. Zaidy dan penceramah-penceramah lain bergerak menuju ke ruang makan bagi menjamu selera. Sedang khusyuk menikmati santapan yang terhidang, salah seorang penceramah bangkit dari tempat duduk setelah membaca sesuatu dari telefon bimbitnya. Penceramah itu menapak ke arah televisyen yang tersedia di ruang makan itu lalu menghidupkan ia. Kelihatan di kaca televisyen berita mengenai pengeboman Affnia Manhattan Hotel yang baru berlaku sebentar tadi. Semua yang berada di situ memfokuskan pandangan ke arah kaca televisyen dan secara tiba-tiba mata mereka membulat kerana terkejut. Terpampang wajah Zaidy Hamidy yang dikehendaki pihak polis kerana tertuduh sebagai manusia yang bertanggungjawab di atas pengeboman Affnia Manhattan Hotel. Rakaman kamera litar tertutup turut dipaparkan dan kelihatan seorang lelaki yang memiliki tubuh dan gaya pemakaian persis seperti Zaidy Hamidy meninggalkan beg galas di lobi Affnia Manhattan Hotel.

Zaidy tergamam. Lidahnya kelu. Dia membisu tanpa suara. Apakah ini yang dikatakan oleh lelaki tua itu? Zaidy memohon kekuatan dari Allah swt. Dia merasakan dugaan ini cukup besar. Air mata Zaidy mengalir dan menitis di atas ribanya. Dia hampir rebah. Tiba-tiba salah seorang penceramah berbicara

“ Jangan risau Encik Zaidy. Kamu bersama kami sejak pagi tadi. Kami semua saksi. Penonton-penonton forum tadi juga saksi. Aku pasti kamu tidak akan melakukan perkara sekotor itu.”

“ Ya Encik Zaidy. Rakaman forum tadi turut boleh dijadikan bukti bahawa kamu disini bersama kami.”

Selang beberapa minit, pihak polis tiba. Zaidy Hamidy di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Zaidy ditanya pelbagai soalan. Bertubi-tubi. Tetapi Zaidy memperoleh ketenangan dari Ilahi. Zaidy turut ditanya mengenai beg galas yang berisi bahan letupan yang berada di biliknya. Zaidy menjawab semua soalan tanpa sebarang helah, tanpa sebarang dusta. Pihak media sungguh pantas menyebarkan berita. Islam kini dipandang sebagai agama pengganas. Media menghentam Zaidy Hamidy seteruk-teruknya. Tetapi, berdasarkan bukti dan saksi yang ada. Zaidy Hamidy bebas dari tuduhan. Zaidy Hamidy bersujud tanda kesyukuran yang tidak terhingga. Tetapi Zaidy juga kehairanan siapakah dalang disebalik semua ini dan mengapa melibatkan dia dalam permasalahan ini. Pihak media juga memohon maaf kepada seluruh umat Islam di dunia dan Zaidy sendiri selepas mengetahui bahawa dia tidak terlibat langsung dengan aktiviti pengeboman Affnia Manhattan Hotel itu.

Jeda

“ Maafkan aku Zaidy. Aku terpaksa melakukan ini ” Sariyanti berbicara sambil menangis teresak-esak

“ Tetapi kenapa Sariyanti ?” Zaidy tidak menyangka Sariyanti merupakan insan yang cuba memusnahkan kehidupan Zaidy.

Tidak sempat dijawab, Sariyanti atau nama sebenarnya Tamara Migzar dibawa masuk ke mahkamah untuk dibicarakan. Perbicaraan bermula. Peguam mendedahkan identiti Tamara Migzar yang sebenar. Seorang perisik Zionis yang hebat dalam penyamaran dan menyamar sebagai warga Indonesia. Tamara Migzar dibawa keluar mahkamah menuju ke arah kereta polis. Sempat dia berhenti di tengah jalan untuk berbicara dengan Zaidy.

“ Zaidy, sekali lagi maafkan aku. Aku seorang Yahudi. Bapaku seorang pejuang Yahudi dan darah itu mengalir ke tubuh ku. Aku mendekatimu membuatkan aku mendekati sesuatu. Sesuatu yang tidak pernah ku jumpa sebelum ini. Ketenangan. Aku ingin kau jujur kepada ku. Dari manakah datangnya aura ketenangan mu itu sehingga aku juga mampu merasakannya walaupun sedikit?”

“ Fahami Islam. Dalami Islam. Kamu akan dapat rasakan ketenangan itu.” Jawab Zaidy

“ Jadikan aku seorang Islam.” mata Tamara mula berkaca air.

“ Lafazkan syahadah. Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu persuruh Allah ”

“Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu persuruh Allah ” Tamara Migzar tersenyum dan secara tiba-tiba kedengaran bergema sedas tembakan. Peluru itu mengenai tepat pada dada Tamara.

“ AKU SUDAH ISLAM ”
All content found on this blog © Azid Azidee unless otherwise stated.
Layout codes by Fiffy. Sidebar Hover Eff by: Eoedesigns Image Hover Eff by: Janani Pixels by: pixeldiary.

Pena Qalbu
it came from deep heart and hopefully will touch the other heart

Pemilik Pena

sang pengabdi abadi kepada Al-Mubdi bernama Azid Azidee. Azan dan iqamat pertama itu berkumandang tatkala tubuh kecilku disambut di Bintangor,Sarawak pada subuh 1 Mei 1994. Penelaah ilmu ilahi di medan pengetahuan Taman Ilmu dan Budi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Zayyan Facebook Twitter
Instagram thePRISM jemari teman

Recent Post

Watikah Berpena Kasih #5Watikah Berpena Kasih #4Watikah Berpena Kasih #3Watikah Berpena Kasih #2Watikah Berpena Kasih #1Sebuah permulaan.Dongeng Sang MahasiswaBumi ini Bumi baru.Awak sudi jadi isteri kedua saya?Anologi 1

MySpace Hit Counter